Sunday 26 April 2015

Seminar Pemakanan Sihat Sempena Bulan Pemakanan Di Daerah Tambunan

Pada 24 April 2015, unit pemakanan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Tambunan telah mengadakan seminar pemakanan sihat sempena bulan pemakanan. Dalam program ini, wakil ahli AKSSI Tambunan dan masyarakat telah memberi sokongan dengan menyertainya bersama anggota kesihatan.


Tema : Makan Sihat, Bergerak Aktif : Cegah Diabetes Dari Awal
Sudut Pameran Pemakanan Sihat

                Dalam program ini, satu sudut kecil pameran pemakanan sihat telah disediakan untuk meningkatkan kesedaran mengenai pemakanan sihat bagi mencegah diabetes dari awal. Pelbagai pemeriksaan telah dijalankan semasa program ini seperti pemeriksaan glukosa, pemeriksaan tekanan tinggi dan pemeriksaan BMI. Pemeriksaan ini bertujuan untuk membantu peserta mengetahui status kesihatan mereka sendiri supaya dapat merendahkan risiko-risiko menghidap diabetes.

Pemeriksaan Glukosa

Timbang Berat Badan

Pemeriksaan Tekanan Darah

Pada awal pagi seminar tersebut, peserta-peserta telah memulakan dengan senamrobik. Selepas memanaskan badan, anggota kesihatan meneruskan dengan aktiviti ‘Jalan 10,000 Langkah’ di luar klinik dengan bersemangat manakala wakil ahli AKSSI dan masyarakat pula meneruskan senamrobik di klinik disebabkan oleh isu keselamatan.


Senamrobik


Jalan 10,000 Langkah

 
Selepas aktiviti bergerak aktif, terdapat ceramah-ceramah yang bertajuk ‘Pemakanan Sihat Untuk Mencegah Diabetes’, ‘Jagaan Kaki dan Kulit’ dan ‘Fizikal Aktiviti untuk Pesakit Diabetes’ telah diberikan kepada para peserta. Selain itu, terdapat aktiviti cabutan bertuah pada hari tersebut untuk memeriahkan lagi program ini. Semua hadiah cabutan bertuah telah disumbangkan oleh anggota kesihatan MCH Daerah Tambunan. Program pada hari tersebut telah diakhiri dengan jamuan makan tengah hari.
 
Ceramah disampaikan oleh Dr. Evelyn

Cabutan Bertuah

Jamuan Makan Tengah Hari
 
 

Disediakan oleh,
Ellen Lee Ik Lin
Pegawai Sains (Pemakanan)
Tambunan

 

Thursday 16 April 2015

Sambutan Bulan Pemakanan 2015 Peringkat Kawasan Keningau


Pada tahun ini, Sambutan Bulan Pemakanan 2015 peringkat kawasan Keningau bertemakan "Makan Secara Sihat, Aktif Bergerak; Cegah Diabetes Dari Awal" akan diadakan pada 28 April 2015 di Dewan Sri Ontoros, Kemabong, Tenom. Pelbagai aktiviti menarik bakal diadakan sepanjang majlis sambutan tersebut berlangsung.




Sehubungan itu, semua dijemput hadir bagi memeriahkan majlis sambutan ini serta dapat meningkatkan ilmu pengetahuan berhubung informasi - informasi sihat yang bakal diberikan.

Sebarang pertanyaan boleh berhubung dengan Urusetia Majlis Sambutan Bulan Pemakanan di talian 087-735355

Disediakan oleh,
Nur Shazwani Abdul Rahim Marahi,
Pegawai Pemakanan,
Tenom



Wednesday 1 April 2015

MyNutriApps II : MyNutriDiari - "Kalori di Hujung Jari"





Berdasarkan Tinjauan Morbiditi dan Kesihatan Malaysia (NHMS), masalah obesiti dalam kalangan orang dewasa di Malaysia telah meningkat daripada 4.4% (1996) dan 14.0% (2006) kepada 15.1% pada tahun 2011. Amalan pengambilan makanan yang tidak sihat merupakan salah satu faktor penyebab utama kepada masalah obesiti. Oleh itu, masyarakat perlu dididik untuk mengamalkan makan secara sihat.

Selaras dengan perkembangan teknologi dan kemampuan kuasa membeli, telefon pintar merupakan satu alat komunikasi yang digunakan secara meluas tanpa mengira generasi. Oleh itu aplikasi telefon pintar digunakan merupakan salah satu medium yang sesuai untuk digunakan bagi menyalur maklumat pemakanan secara interaktif dan mendidik masyarakat mengenai amalan makan secara sihat.
Aplikasi “MyNutriDiari” dibentuk untuk dijadikan aplikasi interaktif bagi mendidik masyarakat tentang amalan makan secara sihat. Melalui aplikasi ini, pengguna boleh memantau pengambilan kalori harian dan berat badan. Rekod pengambilan kalori dan berat badan ini boleh dipantau untuk tempoh seminggu, sebulan dan setahun. Selain itu, pengguna boleh juga mengetahui saranan keperluan kalori harian berdasarkan berat badan semasa, status berat badan dan tahap aktiviti fizikal mereka.

Objektif Am 
  •  Meningkatkan pengetahuan dan kemahiran masyarakat mengenai amalan makan secara sihat melalui medium komunikasi terkini

Objektif Khusus
  • Membantu masyarakat memantau pengambilan kalori harian dan mengetahui penggunaan tenaga melaui aktiviti fizikal yang dilakukan.
  • Mendidik masyarakat untuk mengawal pengambian kalori dengan merekod pengambilan makanan harian
  • Membantu masyarakat memantau berat badan.

JOM MUAT TURUN APLIKASI INI! BAGAIMANA?



Atau anda boleh klik pada link di bawah:

App Store     : akan datang Jun 2015 (MyNutriApps I : https://itunes.apple.com/app/id868299459


Adakah berat badan normal? MyNutriDiari boleh membantu anda untuk mengetahui status BMI anda serta menganggarkan saranan pengambilan kalori harian anda.


Berapa banyak kalori dalam hidangan makan tengahari anda? MyNutriDiari boleh membantu anda untuk mengetahui samada anda masih di bawah 'kawalan'. Anda juga boleh 'scan' kod bar di sesuatu bungkusan makanan untuk mengetahui jumlah kalori makanan tersebut. Mudah bukan?


Klik pada video berikut untuk mengetahui mengenai aplikasi ini dengan lebih lanjut. 




Makan Sihat, Bergerak Aktif! Jom muat turun aplikasi ini sekarang! 
MyNutriDiari - Kalori di Hujung Jari!

Untuk maklumat lanjut, layari laman web : nutrition.moh.gov.my 



Sumber : Buku Panduan Pengguna MyNutriApps II: MyNutriDiari, Bahagian Pemakanan, KKM.

Disediakan oleh,
Nurul Hidayah Aminudin
Pegawai Sains Pemakanan
Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Keningau, Sabah