Wednesday, 5 November 2014

KURSUS ASAS JURULATIH SENAMROBIK

Memandangkan aktiviti fizikal merupakan salah satu komponen amalan gaya hidup yang sihat, Pusat Maklumat Pemakanan Keningau dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan telah menganjurkan Kursus Asas Jurulatih Senamrobik selama 3 hari iaitu pada 27-29 Oktober 2014. Objektif kursus ini adalah untuk melahirkan jurulatih senamrobik yang dapat menerajui aktiviti senamrobik di tempat masing-masing sekaligus aktiviti senamrobik ini dapat dijalankan dalam kalangan masyarakat setempat yang memberi kebaikan dari segi aspek kesihatan, perpaduan dan kesejahteraan.


Seramai  20 orang anggota kesihatan yang mewakili daerah masing-masing iaitu Keningau, Tenom, Tambunan dan Nabawan terlibat dalam kursus ini.  Selain daripada membantu mengawal berat badan, aktivtiti senamrobik juga dapat memberi pelbagai manfaat dan faedah kepada tubuh badan.

Antara Faedah Senamrobik:

  1. Mengurangkan sakit jantung. Aktiviti jenis aerobik dapat membantu menguatkan otot-otot jantung kerana jantung perlu mengepam lebih banyak darah ke seluruh badan. Kerap melakukan aktiviti senamrobik juga dapat membantu meningkatkan kolestrol baik, HDL serta sekaligus dapat mengurangkan risiko sakit jantung
  2. Mengurangkan risiko diabetes. Senamrobik juga dapat membantu meningkatkan penyerapan glukosa daripada darah ke sel-sel dan otot, yang kemudiannya dapat menstabilkan tahap glukosa dalam darah serta mengurangkan risiko diabetes.
  3. Mengurangkan risiko tekanan darah tinggi dan strok. Melalui aktiviti ini dapat membantu mengawal tekanan darah seterusnya mengurangkan tekanan darah tinggi dan strok
  4. Meningkatkan mood, mengurangkan tekanan. Aktiviti fizikal akan merangsang pengeluaran hormon rasa-baik, endorfin yang dapat memberi kesan positif terhadap mood dan dapat mengurangkan tahap tekanan.
  5. Meningkatkan kesihatan sistem penghadaman. Senamrobik mempercepatkan kadar pernafasan dan denyutan jantung yang dapat merangsang pengecutan otot usus dan membantu pergerakan kumuhan najis dengan lebih cepat.
Selama tiga hari kursus ini dijalankan, pelbagai topik telah diterangkan. Berikut merupakan topik-topik yang diberikan semasa kursus ini:

  1. Pengenalan Senamrobik
  2. Etika dan Profesionalisme dalam senamrobik
  3. Anatomi Tubuh Badan
  4. Aktiviti memanas dan menyejukkan badan
  5. Regangan
  6. Kemahiran Asas Senamrobik
  7. Teknik Mengajar
  8. Muzik
  9. Koreografi
Pada hari terakhir kursus ini, para peserta perlu menjalani ujian individu secara paktikal dan juga secara bertulis. Hal ini bertujuan untuk menilai tahap pemahaman para peserta dan juga bagaimana cara para peserta sebagai bakal jurulatih senamrobik, mempraktikkan segala tunjuk ajar yang telah diberikan sepanjang kursus. Disertakan beberapa gambar sepanjang kursus ini dijalankan:










Diharapkan segala ilmu yang telah dipelajari sepanjang kursus ini dapat diaplikasikan sebaik mungkin oleh semua peserta sebagai jurulatih senamrobik dan aktiviti senamrobik ini dapat dipergiatkan lagi sebagai salah satu amalan rutin dalam kehidupan seharian. Hal ini penting untuk mendidik masyarakat mengamalkan dan mempraktikkan gaya hidup sihat dan cergas. Secara tidak langsung, senamrobik ini juga merupakan platform yang dapat memupuk budaya bersukan dengan cara yang mudah dan juga menyeronokkan.

Disediakan oleh:
Nur Shazwani Abdul Rahim Marahi
Pegawai Pemakanan
Tenom

3 comments:

  1. bila lagi ada kursus dan siapa yang boleh menyertai kursus tersebut

    ReplyDelete
  2. Sy brminat utk mngikuti krusus asas erobik ..bila lg akn d adakn...

    ReplyDelete