Monday 22 June 2015

Tips Pemakanan Di Bulan Ramadhan

Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam Ramadhan.

Pada entri kali ini bersempena bulan ramadhan yang masih baru sahaja menjengah kita semua, oleh itu adalah baiknya kita berkongsi sedikit tips yang berkaitan dengan bulan puasa ini. Di samping kita beribadah dan menjaga kesihatan juga. 

TIPS MENYEDIAKAN MAKANAN SEWAKTU BERSAHUR


Kebiasaannya lebihan makanan sewaktu berbuka puasa akan dihidangkan sebagai hidangan untuk bersahur. Amalan ini bukan sahaja menjimatkan masa, tetapi juga menyenangkan kaum ibu yang terpaksa bangun awal untuk menyediakan hidangan sahur. Ini boleh dilakukan sekiranya makanan tersebut disimpan dengan cara yang betul dan selamat. Namun begitu, adalah lebih baik sekiranya kita menyediakan makanan yang segar dan baru dimasak untuk bersahur. Ini kerana, sekiranya lebih makanan sewaktu berbuka dihidang, dikhuatiri ia telah tercemar dan akan mengakibatkan keracunan makanan. Makanan yang telah terdedah di suhu bilik melebihi 4 jam adalah tidak selamat untuk dimakan. Tambahan pula, menggoreng semula makanan akan menyebabkan tambahan kalori kerana penggunaan minyak yang berulang. Makanan untuk bersahur tidak perlu terlalu rumit untuk disediakan. Makanan seperti sandwic, bubur nasi, oat, bijirin sarapan pagi, roti bersalut telur, makaroni goreng, spageti, buah-buahan serta sup seperti sup sayur ataupun sup bebola ikan yang ringkas boleh dijadikan hidangan bersahur yang sihat. Selain daripada itu, pastikan juga buah-buahan dihidangkan sewaktu bersahur. Bagi minuman pula, lebihkan pengambilan air kosong dan kurangkan penggunaan gula atau susu pekat manis. Pengambilan teh dan kopi tidak digalakkan kerana ia boleh mengakibatkan kehilangan air dalam badan melalui air kencing.


TIPS BERBUKA PUASA


  1. Pengambilan makanan di bulan puasa tidak seharusnya berbeza daripada bulan-bulan yang lain. Pemakanan kita sepatutnya dapat membekalkan tenaga, vitamin dan mineral yang sepatutnya agar dapat menjalankan tugas-tugas harian seperti biasa. Makan secara sihat di bulan puasa adalah penting untuk menghindar beberapa masalah kesihatan yang biasa berlaku di bulan puasa seperti sembelit, makanan tidak hadam, kembung perut, pedih ulu hati dan kandungan gula rendah dalam darah. Ia juga penting untuk membolehkan seseorang itu berpuasa dengan selesa dan mendapat fadhilat yang sewajarnya di bulan puasa. Oleh itu, makanlah secara sederhana dan pastikan pengambilan makanan yang seimbang untuk kekal sihat di bulan puasa.
     
  2. Walaupun berpuasa, kita tetap perlu mengamalkan asas makan secara sihat iaitu makan pelbagai jenis makanan secara sederhana dan seimbang. Kita mesti mengambil makanan dari semua kumpulan makanan berasaskan Piramid Makanan Malaysia. Ini kerana tidak ada satu makanan yang dapat membekalkan kesemua nutrien yang diperlukan oleh tubuh kita. Makanan kita mestilah mengandungi kumpulan-kumpulan makanan berikut:
    • Nasi, roti, bijirin dan hasil bijirin.
    • Buah-buahan dan sayur-sayuran
    • Ikan, ayam, daging dan kekacang
    • Susu dan produk tenusu
    • Sedikit minyak, lemak, gula dan garam.
       
  3. Jangan makan secara berlebihan sewaktu berbuka puasa. Ini kerana setelah seharian berpuasa, aktiviti gastrik di dalam perut akan menurun pada tahap yang minimum. Apabila kita mengambil makanan semasa berbuka puasa, aktiviti gastrik akan meningkat. Kebiasaannya kita akan mengambil makanan yang banyak sewaktu berbuka puasa. Ini akan menyebabkan peningkatan asid yang terlalu mendadak. Keadaan ini akan mengakibatkan ketidakselesaan dan boleh menjejaskan kesihatan. Oleh itu, makanlah makanan yang ringan terlebih dahulu sewaktu berbuka puasa untuk mengelakkan peningkatan aktiviti gastrik yang mendadak. Ia juga dapat mengurangkan masalah semasa berpuasa dan kita dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna.
     
  4. Mengikut Sunnah, adalah digalakkan mengambil 3 biji buah kurma sebagai makanan pertama sewaktu berbuka puasa. Kurma bukan sahaja kaya dengan tenaga, tetapi juga mengandungi serat, vitamin dan mineral. Kemudian diikuti dengan ½ cawan jus buah-buahan. Selepas itu bolehlah mengambil 1 mangkuk kecil sup sayur berserta dengan 1 atau 2 keping roti. Pengambilan makanan ini dalam kuantiti yang betul boleh mengembalikan paras gula yang rendah dalam darah kepada paras normal. Walau bagaimanapun, hadkan pengambilan makanan yang manis seperti kuih-muih manis, kek dan air manis dalam kuantiti yang berlebihan sewaktu berbuka puasa. Pengambilan makanan yang tinggi kandungan gula secara berlebihan, boleh mengakibatkan peningkatan berat badan walaupun di bulan puasa.
     
  5. Makan malam yang lebih berat adalah digalakkan sebaik sahaja selepas mengerjakan solat Maghrib. Hidangan makan malam yang disarankan ialah 1 ½ cawan nasi putih, 1 ketul ikan atau ayam, 1 cawan sayur campur. Jika boleh, elakkan makanan yang berminyak dan bersantan. Ambil buah-buahan serta lebihkan minum air kosong. Hidangan lewat malam atau moreh, boleh di ambil jika perlu. Elakkan mengambil makanan yang berat, cukuplah sekadar snek ringkas seperti kacang, sandwic, yogurt, roti, biskut, 1 atau 2 ketul kuih dan 1 gelas susu . Lebihkan mengambil air kosong. Pengambilan makanan yang berat seperti mi atau nasi mengakibatkan ketidakselesaan dan boleh mengganggu tidur anda.
     
  6. Sembelit di bulan puasa merupakan masalah yang mungkin boleh berlaku di bulan puasa. Ia berlaku disebabkan kita kurang minum air, kurang mengambil makanan yang berserat serta makan banyak makanan terproses. Sekiranya anda mengalami masalah ini, tingkatkan pengambilan air, buah-buahan serta sayur-sayuran. Pastikan anda mengambil 6-8 gelas air, 3 hidangan sayur-sayuran dan ½ cawan sayur-sayuran serta 2 biji buah sehari. Pengambilan air juga boleh di ambil dalam bentuk jus buah-buahan ataupun sup sayur-sayuran. Untuk mengelakkan kehilangan air dari badan, kurangkan pengambilan minuman yang mengandungi kafein seperti teh, kopi atau minuman berkarbonat. Kurangkan kekerapan mengambil makanan segera yang tinggi kandungan lemak dan garam. Selain daripada itu, lakukan juga senaman ringan seperti regangan dan berjalan. Ini adalah penting untuk kelancaran sistem penghadaman.

TIPS MENYEDIAKAN HIDANGAN SIHAT UNTUK BERBUKA PUASA



Laungan azan maghrib adalah waktu yang paling ditunggu-tunggu bagi mereka yang menjalani ibadah berpuasa. Sudah tentulah, pelbagai juadah disediakan untuk berbuka puasa. Bagi sesetengah keluarga, mereka lebih menggemari masakan yang disediakan di rumah berbanding yang di beli di pasar Ramadhan. Sudah tentulah masakan yang disediakan di rumah oleh ibu akan lebih menyelerakan. Tambahan pula, bagi anak-anak, inilah masanya mereka boleh meminta si ibu memasakkan apa saja makanan kegemaran mereka untuk santapan berbuka puasa. Namun begitu, sebagai ibu, adalah penting untuk menyediakan hidangan yang bukan sahaja lazat, tetapi juga sihat untuk keluarga. Gunakanlah panduan berikut bagi menyediakan hidangan sihat untuk berbuka puasa.
  • Rancanglah menu dengan mengambil kira 5 kumpulan asas makanan iaitu bijirin, hasil bijirin dan ubi-ubian, buah dan sayur, ikan, daging, ayam dan kekacang, susu dan hasil tenusu serta minyak, lemak, garam dan gula.
  • Gunakan bahan-bahan yang segar untuk menyediakan makanan dan elakkan makanan yang dijeruk atau diawet.
  • Gabungkan pelbagai jenis sayuran yang beraneka warna dan bentuk untuk mendapat hidangan yang lebih sihat dan kelihatan lebih menarik.
  • Pelbagaikan kaedah masakan dengan cara memanggang, mengukus, merebus dan menggoreng tanpa minyak. Kurangkan hidangan bergoreng terutamanya yang disaluti tepung.

TIPS MENINGKATKAN PENGAMBILAN SERAT DI BULAN PUASA


Kesesuaian makanan yang mengandungi tinggi serat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, roti atau biskut wholemeal dan kekacang kurang diambil di bulan puasa. Ini kerana, makanan ini biasanya kurang mendapat perhatian kita jika dibandingkan dengan makanan-makanan lain yang dijual di pasar Ramadhan. Namun begitu, pengambilan serat adalah penting untuk mencegah masalah sembelit terutamanya di bulan puasa. Sayur juga boleh memberi rasa kenyang dan boleh membantu mengawal berat badan. Buah-buahan dan sayur-sayuran boleh dijadikan sebagai hidangan yang berkhasiat di bulan puasa. Berikut adalah panduan untuk meningkatkan pengambilan serat di bulan puasa.
  • Ketika berbuka puasa, makan 3 biji buah kurma, ½ cawan jus buah tanpa gula, 1 mangkuk sup sayur campur serta 1 atau 2 keping roti tinggi serat.
  • Ketika makan malam, ambil sayur campur dan sebiji buah berserta makanan yang lain.
  • Ambil buah-buahan sebagai makanan lewat malam.
  • Bersahurlah dengan bijirin sarapan seperti oats, sup sayur ataupun buah-buahan.
  • Tambah kekacang seperti kacang dhal, kacang kuda, kacang soya atau kacang pis ke dalam masakan.

TIPS MENINGKATKAN PENGAMBILAN AIR DI BULAN PUASA



Walaupun berpuasa, kita perlu mengambil 6-8 gelas air sehari. Air adalah penting untuk fungsi badan yang sempurna. Pengambilan air yang mencukupi juga perlu untuk mencegah sembelit. Kekurangan pengambilan air boleh mengakibatkan kita keletihan. Jika boleh, utamakan air kosong. Namun begitu, kita juga boleh mengambil air dalam bentuk jus buah-buahan ataupun susu rendah lemak. Elakkan pengambilan air manis yang mengandungi pewarna dan perisa tiruan. Bagi berbuka puasa, adalah digalakkan menyediakan sendiri air minuman di rumah kerana ia lebih terjamin kebersihannya. Selain daripada minum air, kita juga boleh meningkatkan pengambilan cecair dengan mengambil sup sayur atau jus buah-buahan. Berikut adalah beberapa cara yang boleh digunakan untuk meningkatkan pengambilan air:
  • Minum 2 gelas air sewaktu berbuka. Ini termasuklah jus buah-buahan ataupun susu rendah lemak.
  • Minum 2-3 gelas air sebelum tidur.
  • Minum 2 gelas air sewaktu bersahur.

Diharapkan dengan beberapa tip yang dikongsi ini dapat membantu anda semua dalam menjalani ibadah puasa dengan lebih bermakna.

Sumber : www.myhealth.gov.my

Disediakan Oleh :
Mohd Zamir Bin Majid
Pegawai Pemakanan PKK Keningau



No comments:

Post a Comment