Wednesday 21 January 2015

KURSUS PENILAIAN PERTUMBUHAN DAN KAUNSELING PEMAKANAN BAYI DAN KANAK-KANAK

Amalan pemberian makanan kepada kanak-kanak kecil dipengaruhi oleh tradisi, budaya dan masyarakat setempat di samping pengetahuan yang diberikan oleh anggota kesihatan. Walaupun demikian, terdapat sebilangan kanak-kanak tidak diberi makanan seperti yang disarankan. Ramai ibu yang berjaya menyusu bayi dengan susu ibu di peringkat awal tetapi memperkenalkan makanan pelengkap lewat ataupun memberhentikan penyusuan dalam tempoh beberapa minggu sahaja selepas kelahiran.

Terdapat kanak-kanak kecil yang mengalami pertumbuhan yang baik dalam tempoh 6 bulan pertama tidak diberi makanan pelengkap yang mencukupi. Keadaan ini mungkin menyebabkan masalah kekurangan zat makanan iaitu masalah yang semakin ketara di kebanyakan negara. Sebaliknya amalan pemakanan yang tidak sesuai mungkin dapat menyumbang kepada peningkatan berat badan berlebihan semasa kanak-kanak. 

Justeru itu, Kursus Penilaian Pertumbuhan dan Kaunseling Pemakanan Bayi dan Kanak-kanak telah diadakan bagi memberi latihan kepada anggota kesihatan yang memberi kaunseling mengenai pemakanan bayi dari segi kemahiran untuk menyokong dan melindungi penyusuan susu ibu dan amalan pemberian makanan pelengkap yang sesuai.

Terdapat 10 MESEJ UTAMA berhubung amalan pemakanan bayi dan kanak-kanak yang telah diterangkan dalam kursus ini:
  1. Penyusuan susu ibu selama dua tahun atau lebih membantu kanak-kanak berkembang dengan kuat dan sihat
  2. Memulakan pemberian makanan bayi sebagai pelengkap kepada susu ibu pada umur genap 6 bulan membantu anak membesar dengan baik
  3. Makanan yang cukup pekat dan kekal lama pada sudu akan memberi lebih tenaga kepada anak
  4. Makanan sumber haiwan adalah sangat bagus untuk kanak-kanak untuk membantu mereka membesar dengan kuat dan cergas
  5. Bijirin dan kekacang adalah baik untuk kanak-kanak
  6. Sayur-sayuran berdaun hijau gelap serta buah-buahan dan sayur-sayuran berwarna kuning boleh membantu kanak-kanak untuk mendapat mata yang sihat dan kurang mendapat jangkitan penyakit.
  7. Kanak-kanak yang sedang membesar memerlukan 2-4 hidangan bersama 1-2 snek sekiranya lapar: berikan pelbagai makanan
  8. Kanak-kanak yang sedang membesar memerlukan penambahan kuantiti makanan
  9. Kanak-kanak kecil perlu belajar untuk makan. Galakkan & berikan bantuan dengan banyak bersabar
  10. Galakkan kanak-kanak untuk minum dan makan semasa sakit dan berikan makanan tambahan selepas pulih untuk membantu mereka sembuh dengan lebih cepat.
Berikut disertakan beberapa gambar sepanjang kursus tersebut:







Selepas menjalani kursus ini, diharapkan setiap peserta boleh menilai amalan penyusuan susu ibu dan pemberian amalan makanan pelengkap dan memberi kaunseling yang berkesan serta menyokong ibu-ibu untuk mengamalkan amalan pemakanan bayi dan kanak-kanak berdasarkan saranan yang diberi.

Disediakan oleh:
Nur Shazwani Abdul Rahim Marahi
Pegawai Pemakanan
Tenom