Wednesday 23 April 2014

SAMBUTAN BULAN PEMAKANAN MALAYSIA 2014

Bulan Pemakanan merupakan salah satu aktiviti yang diilhamkan hasil kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Dietetian Malaysia dan Persatuan Kajian Obesiti Malaysia, badan-badan swasta dan NGO yang lain, institusi pengajian tinggi tempatan serta kerajaan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat Malaysia tentang kepentingan menjaga pemakanan dan gaya hidup sihat. Sambutan Bulan Pemakanan yang pertama telah dilancarkan pada April 2002 dan selepas tahun itu, sambutan diadakan pada setiap tahun dengan tema yang berbeza (untuk kumpulan umur dan jantina yang berbeza).


Sambutan Bulan Pemakanan  pada tahun ini disambut dengan tema MAKAN SECARA SIHAT, AKTIF BERGERAK : CEGAH OBESITI”. Tema kali ini mensasarkan golongan dewasa dengan memberi tumpuan dalam pendidikan penyediaan hidangan sihat dan penurunan berat badan secara selamat dalam inisiatif mencegah obesiti.

Pejabat Kesihatan Kawasan Keningau menggalas tanggungjawab dalam melaksanakan majlis sambutan bagi peringkat Negeri Sabah tahun 2014.


Pelbagai acara yang menarik dirancang bertepatan dengan tema pada tahun ini. Para pengunjung akan mempelajari asas pemakanan dengan cara yang interaktif dan menyeronokkan. Antara aktiviti yang disajikan adalah 6 zon interaktif yang merangkumi kesemua aspek pengurusan pemakanan. 
Semua dijemput hadir bagi menimba pelbagai ilmu pemakanan yang baik serta bersama-sama memeriahkan majlis Sambutan Bulan Pemakanan Malaysia pada tahun ini. 

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi urusetia Bulan Pemakanan Malaysia di talian 087333725.


Disediakan Oleh :
Mohd Zamir Bin Majid
Pegawai Pemakanan
Keningau