Monday, 22 June 2015

Tips Pemakanan Di Bulan Ramadhan

Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam Ramadhan.

Pada entri kali ini bersempena bulan ramadhan yang masih baru sahaja menjengah kita semua, oleh itu adalah baiknya kita berkongsi sedikit tips yang berkaitan dengan bulan puasa ini. Di samping kita beribadah dan menjaga kesihatan juga. 

TIPS MENYEDIAKAN MAKANAN SEWAKTU BERSAHUR


Kebiasaannya lebihan makanan sewaktu berbuka puasa akan dihidangkan sebagai hidangan untuk bersahur. Amalan ini bukan sahaja menjimatkan masa, tetapi juga menyenangkan kaum ibu yang terpaksa bangun awal untuk menyediakan hidangan sahur. Ini boleh dilakukan sekiranya makanan tersebut disimpan dengan cara yang betul dan selamat. Namun begitu, adalah lebih baik sekiranya kita menyediakan makanan yang segar dan baru dimasak untuk bersahur. Ini kerana, sekiranya lebih makanan sewaktu berbuka dihidang, dikhuatiri ia telah tercemar dan akan mengakibatkan keracunan makanan. Makanan yang telah terdedah di suhu bilik melebihi 4 jam adalah tidak selamat untuk dimakan. Tambahan pula, menggoreng semula makanan akan menyebabkan tambahan kalori kerana penggunaan minyak yang berulang. Makanan untuk bersahur tidak perlu terlalu rumit untuk disediakan. Makanan seperti sandwic, bubur nasi, oat, bijirin sarapan pagi, roti bersalut telur, makaroni goreng, spageti, buah-buahan serta sup seperti sup sayur ataupun sup bebola ikan yang ringkas boleh dijadikan hidangan bersahur yang sihat. Selain daripada itu, pastikan juga buah-buahan dihidangkan sewaktu bersahur. Bagi minuman pula, lebihkan pengambilan air kosong dan kurangkan penggunaan gula atau susu pekat manis. Pengambilan teh dan kopi tidak digalakkan kerana ia boleh mengakibatkan kehilangan air dalam badan melalui air kencing.


TIPS BERBUKA PUASA


  1. Pengambilan makanan di bulan puasa tidak seharusnya berbeza daripada bulan-bulan yang lain. Pemakanan kita sepatutnya dapat membekalkan tenaga, vitamin dan mineral yang sepatutnya agar dapat menjalankan tugas-tugas harian seperti biasa. Makan secara sihat di bulan puasa adalah penting untuk menghindar beberapa masalah kesihatan yang biasa berlaku di bulan puasa seperti sembelit, makanan tidak hadam, kembung perut, pedih ulu hati dan kandungan gula rendah dalam darah. Ia juga penting untuk membolehkan seseorang itu berpuasa dengan selesa dan mendapat fadhilat yang sewajarnya di bulan puasa. Oleh itu, makanlah secara sederhana dan pastikan pengambilan makanan yang seimbang untuk kekal sihat di bulan puasa.
     
  2. Walaupun berpuasa, kita tetap perlu mengamalkan asas makan secara sihat iaitu makan pelbagai jenis makanan secara sederhana dan seimbang. Kita mesti mengambil makanan dari semua kumpulan makanan berasaskan Piramid Makanan Malaysia. Ini kerana tidak ada satu makanan yang dapat membekalkan kesemua nutrien yang diperlukan oleh tubuh kita. Makanan kita mestilah mengandungi kumpulan-kumpulan makanan berikut:
    • Nasi, roti, bijirin dan hasil bijirin.
    • Buah-buahan dan sayur-sayuran
    • Ikan, ayam, daging dan kekacang
    • Susu dan produk tenusu
    • Sedikit minyak, lemak, gula dan garam.
       
  3. Jangan makan secara berlebihan sewaktu berbuka puasa. Ini kerana setelah seharian berpuasa, aktiviti gastrik di dalam perut akan menurun pada tahap yang minimum. Apabila kita mengambil makanan semasa berbuka puasa, aktiviti gastrik akan meningkat. Kebiasaannya kita akan mengambil makanan yang banyak sewaktu berbuka puasa. Ini akan menyebabkan peningkatan asid yang terlalu mendadak. Keadaan ini akan mengakibatkan ketidakselesaan dan boleh menjejaskan kesihatan. Oleh itu, makanlah makanan yang ringan terlebih dahulu sewaktu berbuka puasa untuk mengelakkan peningkatan aktiviti gastrik yang mendadak. Ia juga dapat mengurangkan masalah semasa berpuasa dan kita dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna.
     
  4. Mengikut Sunnah, adalah digalakkan mengambil 3 biji buah kurma sebagai makanan pertama sewaktu berbuka puasa. Kurma bukan sahaja kaya dengan tenaga, tetapi juga mengandungi serat, vitamin dan mineral. Kemudian diikuti dengan ½ cawan jus buah-buahan. Selepas itu bolehlah mengambil 1 mangkuk kecil sup sayur berserta dengan 1 atau 2 keping roti. Pengambilan makanan ini dalam kuantiti yang betul boleh mengembalikan paras gula yang rendah dalam darah kepada paras normal. Walau bagaimanapun, hadkan pengambilan makanan yang manis seperti kuih-muih manis, kek dan air manis dalam kuantiti yang berlebihan sewaktu berbuka puasa. Pengambilan makanan yang tinggi kandungan gula secara berlebihan, boleh mengakibatkan peningkatan berat badan walaupun di bulan puasa.
     
  5. Makan malam yang lebih berat adalah digalakkan sebaik sahaja selepas mengerjakan solat Maghrib. Hidangan makan malam yang disarankan ialah 1 ½ cawan nasi putih, 1 ketul ikan atau ayam, 1 cawan sayur campur. Jika boleh, elakkan makanan yang berminyak dan bersantan. Ambil buah-buahan serta lebihkan minum air kosong. Hidangan lewat malam atau moreh, boleh di ambil jika perlu. Elakkan mengambil makanan yang berat, cukuplah sekadar snek ringkas seperti kacang, sandwic, yogurt, roti, biskut, 1 atau 2 ketul kuih dan 1 gelas susu . Lebihkan mengambil air kosong. Pengambilan makanan yang berat seperti mi atau nasi mengakibatkan ketidakselesaan dan boleh mengganggu tidur anda.
     
  6. Sembelit di bulan puasa merupakan masalah yang mungkin boleh berlaku di bulan puasa. Ia berlaku disebabkan kita kurang minum air, kurang mengambil makanan yang berserat serta makan banyak makanan terproses. Sekiranya anda mengalami masalah ini, tingkatkan pengambilan air, buah-buahan serta sayur-sayuran. Pastikan anda mengambil 6-8 gelas air, 3 hidangan sayur-sayuran dan ½ cawan sayur-sayuran serta 2 biji buah sehari. Pengambilan air juga boleh di ambil dalam bentuk jus buah-buahan ataupun sup sayur-sayuran. Untuk mengelakkan kehilangan air dari badan, kurangkan pengambilan minuman yang mengandungi kafein seperti teh, kopi atau minuman berkarbonat. Kurangkan kekerapan mengambil makanan segera yang tinggi kandungan lemak dan garam. Selain daripada itu, lakukan juga senaman ringan seperti regangan dan berjalan. Ini adalah penting untuk kelancaran sistem penghadaman.

TIPS MENYEDIAKAN HIDANGAN SIHAT UNTUK BERBUKA PUASA



Laungan azan maghrib adalah waktu yang paling ditunggu-tunggu bagi mereka yang menjalani ibadah berpuasa. Sudah tentulah, pelbagai juadah disediakan untuk berbuka puasa. Bagi sesetengah keluarga, mereka lebih menggemari masakan yang disediakan di rumah berbanding yang di beli di pasar Ramadhan. Sudah tentulah masakan yang disediakan di rumah oleh ibu akan lebih menyelerakan. Tambahan pula, bagi anak-anak, inilah masanya mereka boleh meminta si ibu memasakkan apa saja makanan kegemaran mereka untuk santapan berbuka puasa. Namun begitu, sebagai ibu, adalah penting untuk menyediakan hidangan yang bukan sahaja lazat, tetapi juga sihat untuk keluarga. Gunakanlah panduan berikut bagi menyediakan hidangan sihat untuk berbuka puasa.
  • Rancanglah menu dengan mengambil kira 5 kumpulan asas makanan iaitu bijirin, hasil bijirin dan ubi-ubian, buah dan sayur, ikan, daging, ayam dan kekacang, susu dan hasil tenusu serta minyak, lemak, garam dan gula.
  • Gunakan bahan-bahan yang segar untuk menyediakan makanan dan elakkan makanan yang dijeruk atau diawet.
  • Gabungkan pelbagai jenis sayuran yang beraneka warna dan bentuk untuk mendapat hidangan yang lebih sihat dan kelihatan lebih menarik.
  • Pelbagaikan kaedah masakan dengan cara memanggang, mengukus, merebus dan menggoreng tanpa minyak. Kurangkan hidangan bergoreng terutamanya yang disaluti tepung.

TIPS MENINGKATKAN PENGAMBILAN SERAT DI BULAN PUASA


Kesesuaian makanan yang mengandungi tinggi serat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, roti atau biskut wholemeal dan kekacang kurang diambil di bulan puasa. Ini kerana, makanan ini biasanya kurang mendapat perhatian kita jika dibandingkan dengan makanan-makanan lain yang dijual di pasar Ramadhan. Namun begitu, pengambilan serat adalah penting untuk mencegah masalah sembelit terutamanya di bulan puasa. Sayur juga boleh memberi rasa kenyang dan boleh membantu mengawal berat badan. Buah-buahan dan sayur-sayuran boleh dijadikan sebagai hidangan yang berkhasiat di bulan puasa. Berikut adalah panduan untuk meningkatkan pengambilan serat di bulan puasa.
  • Ketika berbuka puasa, makan 3 biji buah kurma, ½ cawan jus buah tanpa gula, 1 mangkuk sup sayur campur serta 1 atau 2 keping roti tinggi serat.
  • Ketika makan malam, ambil sayur campur dan sebiji buah berserta makanan yang lain.
  • Ambil buah-buahan sebagai makanan lewat malam.
  • Bersahurlah dengan bijirin sarapan seperti oats, sup sayur ataupun buah-buahan.
  • Tambah kekacang seperti kacang dhal, kacang kuda, kacang soya atau kacang pis ke dalam masakan.

TIPS MENINGKATKAN PENGAMBILAN AIR DI BULAN PUASA



Walaupun berpuasa, kita perlu mengambil 6-8 gelas air sehari. Air adalah penting untuk fungsi badan yang sempurna. Pengambilan air yang mencukupi juga perlu untuk mencegah sembelit. Kekurangan pengambilan air boleh mengakibatkan kita keletihan. Jika boleh, utamakan air kosong. Namun begitu, kita juga boleh mengambil air dalam bentuk jus buah-buahan ataupun susu rendah lemak. Elakkan pengambilan air manis yang mengandungi pewarna dan perisa tiruan. Bagi berbuka puasa, adalah digalakkan menyediakan sendiri air minuman di rumah kerana ia lebih terjamin kebersihannya. Selain daripada minum air, kita juga boleh meningkatkan pengambilan cecair dengan mengambil sup sayur atau jus buah-buahan. Berikut adalah beberapa cara yang boleh digunakan untuk meningkatkan pengambilan air:
  • Minum 2 gelas air sewaktu berbuka. Ini termasuklah jus buah-buahan ataupun susu rendah lemak.
  • Minum 2-3 gelas air sebelum tidur.
  • Minum 2 gelas air sewaktu bersahur.

Diharapkan dengan beberapa tip yang dikongsi ini dapat membantu anda semua dalam menjalani ibadah puasa dengan lebih bermakna.

Sumber : www.myhealth.gov.my

Disediakan Oleh :
Mohd Zamir Bin Majid
Pegawai Pemakanan PKK Keningau



Friday, 12 June 2015

MAJLIS SAMBUTAN BULAN PEMAKANAN 2015 PERINGKAT KAWASAN KENINGAU

Majlis Sambutan Bulan Pemakanan 2015 peringkat kawasan Keningau yang bertemakan "Makan Secara Sihat, Aktif Bergerak: Cegah Diabetes Dari Awal" telah diadakan pada 28 April 2015 yang lalu di Dewan Sri Ontoros, Kemabong, Tenom. Pengunjung berpeluang untuk menyertai pelbagai aktiviti-aktiviti yang menarik sepanjang majlis ini berlangsung.

Berikut disertakan gambar-gambar sepanjang majlis tersebut dijalankan:



Senamrobik




Senamrobik

Pertandingan Memasak Hidangan Sihat



Pertandingan Memasak Hidangan Sihat - Peserta menerangkan menu makanan sihat yang disediakan


Juri Pertandingan Memasak menilai masakan yang disediakan oleh para peserta pertandingan

Antara pengunjung di Pameran


Pameran Pemakanan
Ceramah Kesihatan "Diabetes" yang disampaikan oleh Dr Eric


Gimik Perasmian Majlis Sambutan oleh Pegawai Kesihatan Kawasan Keningau

Gimik Perasmian Majlis Sambutan oleh Pegawai Kesihatan Kawasan Keningau
Persembahan Senamrobik oleh anggota kesihatan KKIA Tenom
Penyampaian hadiah kepada Pemenang Pertandingan Memasak Hidangan Sihat

Pengunjung yang hadir




Diharapkan majlis sambutan Bulan Pemakanan ini dapat meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai amalan pemakanan sihat melalui mengawal pengambilan kandungan gula dalam makanan dan minuman serta pengubahsuaian resepi yang lebih sihat di samping mengamalkan gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti fizikal.

Disediakan oleh,
Nur Shazwani Abdul Rahim Marahi
Pegawai Pemakanan
Tenom



Tuesday, 5 May 2015

PAMERAN PUSAT MAKLUMAT PEMAKANAN SEMPENA SAMBUTAN BULAN PEMAKANAN MALAYSIA PERINGKAT NEGERI SABAH

Pada 30 April 2015, daerah Beaufort telah dengan jayanya menjadi tuan rumah dalam menganjurkan sambutan Bulan Pemakanan Malaysia Peringkat Negeri Sabah bagi tahun 2015. Seperti mana rutin tahunan, Bulan Pemakanan Malaysia akan disambut setiap tahun iaitu sepanjang bulan april. Malah ia akan berterusan sehingga hujung tahun. Pada tahun ini ia membawa penekanan yang sedikit berbeza iaitu untuk mencegah diabetes dari awal .

Logo serta Tema Bulan Pemakanan Malaysia 2015

Pusat Maklumat Pemakanan Keningau telah dijemput bagi menjalankan pameran dan aktiviti promosi pemakanan sihat yang menjurus kepada tema pada tahun ini. Dengan setting yang telah diberikan, PMP Keningau telah mengeluarkan set pameran seperti berikut :

Ruang Pendaftaran dan taklimat ringkas

Permulaan, pengunjung dikehendaki mendaftar dan mendengar taklimat ringkas berkenaan pameran oleh pegawai yang bertugas, serta diberi sekeping borang kuiz untuk digunakan sepanjang lawatan ke pameran. Setiap pengunjung yang mengembalikan borang kuiz dengan jawapan yang betul akan diberikan token berupa table top piramid makanan.


Pameran 3 kumpulan makanan dalam pengawalan diabetes
Pameran yang pertama adalah berkenaan tema bulan pemakanan Malaysia 2015 iaitu cegah diabetes dari awal, oleh itu pameran ini berkisarkan 3 kumpulan makanan iaitu makanan yang perlu dielakkan, makanan yang perlu dikawal serta makanan yang bebas dimakan. Pengunjung akan ditunjukkan beberapa contoh makanan dan dijelaskan kenapa tergolong dalam kumpulan tersebut.

Pameran kandungan gula dalam makanan serta video pemakanan
Kemudian pengunjung akan beralih kepada pameran kandungan gula dalam makanan, terdapat pameran kandungan dalam makanan utama dan minuman utama yang sering diambil oleh masyarakat setempat, ini bertujuan memberi gambaran sebenar kepada pengunjung mengenai kandungan gula daripada makanan dan minuman yang biasa diambil. Disebelahnya, pengunjung disajikan dengan trailer pemakanan serta beberapa klip video pemilihan makanan secara bijak serta pemakanan dan diabetes.

Cadangan dan contoh menu makanan 1500kcal sehari
Selepas itu, disudut yang seterusnya, pengunjung disajikan dengan contoh makanan yang mengandungi 1500 kcal sehari yang dibahagikan kepada 3 waktu makan utama iaitu Sarapan Pagi, Makan Tengahhari serta Makan Malam. Ia bertujuan supaya penganjung mendapat gambaran sebenar berkenaan kuantiti makanan yang disarankan.

Kuiz teka kandungan gula
Sebelum menamatkan sesi pameran dan penerangan, pengunjung sekali lagi diberi kuiz berkenaan kandungan gula dalam makanan yang telah dipamerkan dalam kotak plastik tersebut, tekaan yang paling tepat atau paling hampir akan diberikan hadiah. Sebagai kata lain juga kuiz ini untuk melihat sama ada pengunjung sudah memahami konsep kandungan gula dalam makanan atau belum.


Pameran selama 5 jam tersebut telah berjaya memberi penerangan dan pendedahan kepada 126 orang (yang berdaftar) pengunjung daripada pelbagai peringkat umur. Untuk Gambar-gambar sepanjang aktiviti, bolehlah kunjungi dan ' Like' laman sosial Facebook kami Pusat Maklumat Pemakanan Keningau.



Disediakan oleh ;

Mohd Zamir Bin Majid
Pegawai Sains(Pemakanan)
PKK Keningau

Sunday, 26 April 2015

Seminar Pemakanan Sihat Sempena Bulan Pemakanan Di Daerah Tambunan

Pada 24 April 2015, unit pemakanan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Tambunan telah mengadakan seminar pemakanan sihat sempena bulan pemakanan. Dalam program ini, wakil ahli AKSSI Tambunan dan masyarakat telah memberi sokongan dengan menyertainya bersama anggota kesihatan.


Tema : Makan Sihat, Bergerak Aktif : Cegah Diabetes Dari Awal
Sudut Pameran Pemakanan Sihat

                Dalam program ini, satu sudut kecil pameran pemakanan sihat telah disediakan untuk meningkatkan kesedaran mengenai pemakanan sihat bagi mencegah diabetes dari awal. Pelbagai pemeriksaan telah dijalankan semasa program ini seperti pemeriksaan glukosa, pemeriksaan tekanan tinggi dan pemeriksaan BMI. Pemeriksaan ini bertujuan untuk membantu peserta mengetahui status kesihatan mereka sendiri supaya dapat merendahkan risiko-risiko menghidap diabetes.

Pemeriksaan Glukosa

Timbang Berat Badan

Pemeriksaan Tekanan Darah

Pada awal pagi seminar tersebut, peserta-peserta telah memulakan dengan senamrobik. Selepas memanaskan badan, anggota kesihatan meneruskan dengan aktiviti ‘Jalan 10,000 Langkah’ di luar klinik dengan bersemangat manakala wakil ahli AKSSI dan masyarakat pula meneruskan senamrobik di klinik disebabkan oleh isu keselamatan.


Senamrobik


Jalan 10,000 Langkah

 
Selepas aktiviti bergerak aktif, terdapat ceramah-ceramah yang bertajuk ‘Pemakanan Sihat Untuk Mencegah Diabetes’, ‘Jagaan Kaki dan Kulit’ dan ‘Fizikal Aktiviti untuk Pesakit Diabetes’ telah diberikan kepada para peserta. Selain itu, terdapat aktiviti cabutan bertuah pada hari tersebut untuk memeriahkan lagi program ini. Semua hadiah cabutan bertuah telah disumbangkan oleh anggota kesihatan MCH Daerah Tambunan. Program pada hari tersebut telah diakhiri dengan jamuan makan tengah hari.
 
Ceramah disampaikan oleh Dr. Evelyn

Cabutan Bertuah

Jamuan Makan Tengah Hari
 
 

Disediakan oleh,
Ellen Lee Ik Lin
Pegawai Sains (Pemakanan)
Tambunan

 

Thursday, 16 April 2015

Sambutan Bulan Pemakanan 2015 Peringkat Kawasan Keningau


Pada tahun ini, Sambutan Bulan Pemakanan 2015 peringkat kawasan Keningau bertemakan "Makan Secara Sihat, Aktif Bergerak; Cegah Diabetes Dari Awal" akan diadakan pada 28 April 2015 di Dewan Sri Ontoros, Kemabong, Tenom. Pelbagai aktiviti menarik bakal diadakan sepanjang majlis sambutan tersebut berlangsung.




Sehubungan itu, semua dijemput hadir bagi memeriahkan majlis sambutan ini serta dapat meningkatkan ilmu pengetahuan berhubung informasi - informasi sihat yang bakal diberikan.

Sebarang pertanyaan boleh berhubung dengan Urusetia Majlis Sambutan Bulan Pemakanan di talian 087-735355

Disediakan oleh,
Nur Shazwani Abdul Rahim Marahi,
Pegawai Pemakanan,
Tenom



Wednesday, 1 April 2015

MyNutriApps II : MyNutriDiari - "Kalori di Hujung Jari"





Berdasarkan Tinjauan Morbiditi dan Kesihatan Malaysia (NHMS), masalah obesiti dalam kalangan orang dewasa di Malaysia telah meningkat daripada 4.4% (1996) dan 14.0% (2006) kepada 15.1% pada tahun 2011. Amalan pengambilan makanan yang tidak sihat merupakan salah satu faktor penyebab utama kepada masalah obesiti. Oleh itu, masyarakat perlu dididik untuk mengamalkan makan secara sihat.

Selaras dengan perkembangan teknologi dan kemampuan kuasa membeli, telefon pintar merupakan satu alat komunikasi yang digunakan secara meluas tanpa mengira generasi. Oleh itu aplikasi telefon pintar digunakan merupakan salah satu medium yang sesuai untuk digunakan bagi menyalur maklumat pemakanan secara interaktif dan mendidik masyarakat mengenai amalan makan secara sihat.
Aplikasi “MyNutriDiari” dibentuk untuk dijadikan aplikasi interaktif bagi mendidik masyarakat tentang amalan makan secara sihat. Melalui aplikasi ini, pengguna boleh memantau pengambilan kalori harian dan berat badan. Rekod pengambilan kalori dan berat badan ini boleh dipantau untuk tempoh seminggu, sebulan dan setahun. Selain itu, pengguna boleh juga mengetahui saranan keperluan kalori harian berdasarkan berat badan semasa, status berat badan dan tahap aktiviti fizikal mereka.

Objektif Am 
  •  Meningkatkan pengetahuan dan kemahiran masyarakat mengenai amalan makan secara sihat melalui medium komunikasi terkini

Objektif Khusus
  • Membantu masyarakat memantau pengambilan kalori harian dan mengetahui penggunaan tenaga melaui aktiviti fizikal yang dilakukan.
  • Mendidik masyarakat untuk mengawal pengambian kalori dengan merekod pengambilan makanan harian
  • Membantu masyarakat memantau berat badan.

JOM MUAT TURUN APLIKASI INI! BAGAIMANA?



Atau anda boleh klik pada link di bawah:

App Store     : akan datang Jun 2015 (MyNutriApps I : https://itunes.apple.com/app/id868299459


Adakah berat badan normal? MyNutriDiari boleh membantu anda untuk mengetahui status BMI anda serta menganggarkan saranan pengambilan kalori harian anda.


Berapa banyak kalori dalam hidangan makan tengahari anda? MyNutriDiari boleh membantu anda untuk mengetahui samada anda masih di bawah 'kawalan'. Anda juga boleh 'scan' kod bar di sesuatu bungkusan makanan untuk mengetahui jumlah kalori makanan tersebut. Mudah bukan?


Klik pada video berikut untuk mengetahui mengenai aplikasi ini dengan lebih lanjut. 




Makan Sihat, Bergerak Aktif! Jom muat turun aplikasi ini sekarang! 
MyNutriDiari - Kalori di Hujung Jari!

Untuk maklumat lanjut, layari laman web : nutrition.moh.gov.my 



Sumber : Buku Panduan Pengguna MyNutriApps II: MyNutriDiari, Bahagian Pemakanan, KKM.

Disediakan oleh,
Nurul Hidayah Aminudin
Pegawai Sains Pemakanan
Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Keningau, Sabah